JERTEH, 25 Okt (Bernama) -- Seorang penjawat awam antara 156 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Perdana di Terengganu selama tiga hari bermula 24 Okt.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu memberi alasan ketagih air ketum kerana membolehkannya bertugas lebih lancar.
“Sebanyak 179 orang diperiksa dalam operasi ini dengan 156 individu termasuk tiga wanita berusia dari 19 hingga 61 tahun didapati positif dadah dan ketum.
“Daripada keseluruhan tangkapan, individu mengambil dadah jenis methamphetamine (pil kuda) paling ramai iaitu 151 orang manakala lima terlibat ketum,” katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan harga pil yang murah iaitu sekitar RM8 sebiji menjadi faktor ramai yang terlibat mengambil dadah tersebut.
Zainudin berkata daerah Besut mencatatkan jumlah tangkapan paling banyak iaitu 40 orang diikuti Dungun (33 orang), Kuala Terengganu (31 orang), Kemaman (27 orang) dan Marang (25 orang).
Operasi itu menyasarkan daerah mempunyai kadar prevalens penyalahgunaan tinggi melibatkan 77 pegawai dan anggota AADK, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (21 orang) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu (tiga orang).
Beliau berkata semua yang ditahan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983.
-- BERNAMA