GAYA HIDUP

Rosnani Jamil Bukti Wanita Layak Jadi Pengarah Filem

27/10/2025 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Seniwati veteran Datuk Rosnani Jamil menganggap penglibatannya sebagai antara pengarah wanita terawal dalam industri filem Melayu pada era 1980-an sebagai satu pencapaian bersejarah yang membuka ruang lebih luas buat wanita untuk berkarya di belakang tabir.

Rosnani, atau nama sebenarnya Rosnani Ludin, 90, berkata dunia pengarahan ketika itu masih didominasi lelaki, justeru mendorongnya untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu menghasilkan filem berkualiti tinggi.

Berkat sokongan serta galakan daripada suami Datuk Jamil Sulong, keluarga dan anak-anak, Rosnani yang mesra disapa Mak Nani membulatkan tekad untuk terus melangkah ke depan serta mengharungi cabaran dalam industri yang dianggap "hak mutlak lelaki".

pic-2

“Sekarang dah tak ada lagi persoalan wanita boleh ke jadi pengarah? Mak rasa kita dah ada tempat dalam sejarah filem Melayu sebab ramai pengarah wanita yang berpotensi. Mak bersyukur kerana ada pengganti kami and I’m proud of you all,” katanya pada Sesi Apresiasi Tokoh Perfileman Veteran Negara menerusi program Tribute: Penghargaan Kepada Tokoh-tokoh Perfileman Veteran Negara bersempena dengan Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), baru-baru ini.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut menampilkan pelakon dan pengarah tersohor Datuk Rahim Razali dengan pengacara Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai moderator.

Rosnani berkata kemunculan ramai pengarah wanita pada hari ini membuktikan perubahan positif dalam industri filem tempatan yang semakin terbuka menilai bakat dan kemampuan tanpa mengira jantina.

Berkongsi lebih lanjut, Rosnani berkata perjalanannya sebagai pengarah bukan sesuatu yang mudah kerana lebih banyak pahit berbanding manis yang perlu ditempuhi.

pic-3

“Masa mula-mula jadi pengarah dulu, ramai yang takut nak berlakon bawah arahan mak. Bila Mawar Merah (filem pertama) meletup pun, masih ada yang tak percaya mak yang mengarah. Orang ingat suami mak yang buat. Sedih juga masa tu, tapi mak teruskan sebab nak buktikan kemampuan,” katanya yang juga penulis skrip dan penerbit.

Filem Mawar Merah yang ditayangkan pada 1987 menjadi antara filem Melayu paling laris dengan kutipan pecah panggung mencecah RM371,000 seterusnya membawa Rosnani meraih Anugerah Skrip dan Lakon Layar Terbaik, manakala pelakon utamanya Allahyarham Mustaffa Noor dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Raja Ema meraih Anugerah Bintang Harapan pada FFM7

Selain Mawar Merah, beliau turut mengarahkan antaranya Antara Dua Hati, Pak Tam Duda, Memori, Amelia, Bicara Hati serta karya terakhirnya Mawar Putih pada 2016 sebelum mengundurkan diri daripada dunia seni.

pic-4

Kerjaya seninya Rosnani bermula sebagai pelayan dan penari joget di kelab Happy World sebelum bakatnya disedari oleh pengarah legenda Tan Sri L. Krishnan yang menawarkannya peranan dalam filem Lupa Daratan.

Sejak itu, beliau membintangi puluhan filem termasuk Sederah, Miskin, Ayer Mata, Gelora Hidup, Lela Manja, Hang Jebat, Lubalang Daik, Anakku Sazali, Nasib Si Labu Labi, Anak Buluh Betong, Sumpahan Mahsuri, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Kerja Kahwin.

Setelah lebih enam dekad menceburi industri seni, penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM5 itu berkongsi dirinya sudah puas dengan segala pencapaian yang diraih sepanjang kariernya.

“Mak dah rasa semuanya, daripada jadi pelakon, penulis skrip, penerbit sampai pengarah. Semua impian mak dah tercapai. Kalau esok mak pergi pun, mak tutup mata dengan tenang,” katanya.

pic-5

Sebagai insan seni yang berpengalaman, beliau menasihati pelakon generasi baharu agar sentiasa membawakan watak yang dilakonkan dengan penuh disiplin dan penghayatan, bukannya sekadar muncul sebagai hero atau heroin di layar perak, kerana kedua-dua elemen tersebut penting untuk pembinaan karier seni.

Katanya sebahagian pelakon muda hari ini dilihat mengambil mudah peranan mereka dan hanya fokus mengajar watak utama tanpa memahami latar atau jiwa karakter sepenuhnya.

“Kalau dia jadi gadis kampung, mesti perwatakan, pakaian dan cara bualannya seperti orang kampung, walaupun dia orang bandar. Barulah orang kata lakonannya hidup. Bila kita buat filem, ia kerja berpasukan. Kita perlukan hero, pembantu, pengarah dan cerita yang bagus. Baru hasilnya meninggalkan kesan di hati penonton,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483706