GAYA HIDUP

Spider Unplugged Di Kelas Tersendiri, Peminat Puas

27/10/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Spider membuktikan mereka masih gah apabila Mega Star Arena di sini bergema dengan sorakan peminat yang menzahirkan rasa rindu dan gembira mereka sepanjang konsert Spider Unplugged pada Sabtu lepas.

Lebih 3,000 peminat memenuhi dewan itu untuk menyaksikan empat artis kesayangan mereka  beraksi dalam suasana intim - satu pernyataan bahawa Spider masih memiliki magis yang tidak dimamah masa serta muzik tulen yang kekal di jiwa.

Spider yang dianggotai Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar) tampil memberikan persembahan sepenuh jiwa menerusi konsert berdurasi lebih dua jam yang sarat dengan emosi, jenaka serta keakraban bersama-sama penonton.

pic-2

Tepat 8.30 malam, Tam membuka tirai persembahan dengan lagu Rasakan Resapkan, diikuti Kau Saja, Kacap Terlabik dan Sumpah Tak Buat Lagi. Setiap lagu disambut sorakan gemuruh peminat yang nyata merindui sentuhan "unplugged" Spider.

Tam kemudian menyeru peminat yang hadir agar terus memberi aura positif dan semangat kepada kumpulannya untuk beraksi pada malam itu.

“Assalamualaikum. Seperti yang telah kita janjikan dan rancang sejak berbulan lamanya, akhirnya kita dapat jumpa kalian semua malam ini. Malam ini bersejarah buat Spider kerana ini adalah konsert yang telah lama kami idamkan.

pic-3

“Kami bersyukur selepas berbincang dengan pengurusan, mereka meluluskan cadangan ini (mengadakan konsert secara unplugged). Harap kalian bagi semangat kepada kami,” katanya sambil berseloroh kepada penonton yang masuk secara percuma bahawa itu rezeki mereka.

Pada malam itu Spider menyampaikan 22 lagu termasuk karya ikonik yang dekat di hati peminat seperti Laukku Cukup Masin, Bila Nak Saksi, Telinga ke Tulang, Mabok, Ngam Ho, Mama dan Kekal,  membawa penonton hanyut dalam nostalgia muzik mereka.

Momen paling menyentuh hadir apabila Tam menyampaikan Jangan Kau Berputus Asa, ditemani pesanan tulus: “Sebelum saya nyanyi lagu seterusnya, kita jangan lupa saudara mara di Palestin yang sedang berjuang untuk meneruskan hidup. Jangan putus asa, teruskan berdoa.”

pic-4

Spider turut menyampaikan lagu baharu berjudul Sungguh Ku Telah jatuh Cinta atau SKTJC yang dicipta oleh Tam dan Firdaus manakala lirik ditulis oleh Ahmad Farqi dari Indonesia.

"Ini kali pertama saya akan nyanyikan lagu ini, ia sangat istimewa untuk saya. Terima kasih keluarga datang hari ini, kita kongsi cinta bersama-sama," kata Tam.

Kesepakatan empat ahli Spider selepas lebih dua dekad terpamer jelas melalui tenaga dan harmoni sepanjang konsert. 

pic-5

Dewan bertukar menjadi pesta penuh meriah apabila pagar di tempat duduk penonton dibuka oleh penganjur semasa lagu Aladin dan Cinta Dewa Dewi, memberi peluang kepada  peminat menari serta menyanyi bersama-sama Spider di depan pentas.

Tirai konsert dilabuhkan dengan lagu Mungkinkah Terjadi, sementara Tam meluahkan rasa puas apabila menyifatkan penonton yang hadir sangat "sporting".

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483900