GAYA HIDUP

KRU Buat Persembahan Atas Kapal Persiaran Mewah Januari 2026

24/10/2025 01:59 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

PETALING JAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kumpulan trio adik-beradik popular KRU bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seni mereka apabila tampil dengan ‘StarKRUise Showcase’, persembahan khas di atas kapal persiaran mewah yang akan berlayar dari Phuket ke Singapura pada Januari depan.

Ahli kumpulan Datuk Norman Abdul Halim berkata persembahan berdurasi satu jam itu akan menjadi pembuka tirai aktiviti mereka bagi  2026 selepas kejayaan konsert GenKRU baru-baru ini.

Beliau berkata acara itu diadakan bagi memberi peluang kepada kumpulan tersebut berinteraksi lebih dekat dengan peminat dalam suasana santai, selain menikmati percutian selama lima hari empat malam di atas kapal mewah bersama-sama mereka.

“Acara ini lebih kepada untuk beramah mesra dengan peminat, kerana selain showcase kami juga akan sertai aktiviti santai bersama-sama mereka di atas kapal. Walaupun tak diwajibkan, rasa rugi kalau dah lima hari empat malam di situ tapi tak buat aktiviti dengan mereka.

pic-2

“Ia bukan konsert besar, hanya persembahan satu jam, tapi satu pengalaman sekali seumur hidup bagi kami juga. Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza, mungkin ada lagu-lagu bertema lautan atau nostalgia perjalanan karier kami, sebab tak mahu ulang persembahan sama seperti konsert sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas sidang media acara tersebut di sini semalam.

Pada Mei lepas, kumpulan yang turut dianggotai oleh Datuk Yusry dan Edry itu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan terbanyak dilakukan dalam satu siri konsert dan penjualan tiket konsert terpantas dalam tempoh satu jam menerusi penganjuran Konsert GenKRU 2025.

Norman berkata acara itu adalah permulaan untuk 2026, pastinya ada sesuatu yang menarik disusun buat peminat pada tahun depan.

“Insya-Allah, untuk permulaan kita fokus di sini dahulu (showcase atas kapal mewah)... (bagilah) kami sampai kapal terlebih dahulu. Dalam masa yang sama kami juga perlu beri fokus pada GenKRU The Finale pada bulan depan.

pic-3

Beliau berkata mereka kini berada di fasa yang membolehkan KRU memilih projek yang benar-benar memberi nilai dan pengalaman baharu kepada kumpulan itu serta peminat.

“Sekarang ni kami boleh 'pick and choose' apa yang kami nak buat. Kalau rasa benda tu macam ulang-ulang, kami tak perlu buat. Kami nak sesuatu yang eksklusif, berbeza dan bermakna untuk peminat,” katanya, menambah setiap persembahan selepas ini akan menampilkan konsep berbeza agar setiap pengalaman bersama-sama KRU kekal istimewa dan diingati.

Sementara itu, Edry berkata antara perancangan kumpulan itu pada tahun depan ialah  menonjolkan sisi individu setiap ahli KRU yang selama ini dikenali sebagai satu entiti.

“Orang nampak KRU sebagai tiga beradik, tapi dalam KRU juga ada Norman, Yusry dan Edry. Jadi mungkin tahun depan kita nak 'explore' sisi itu, bukan sekadar kumpulan, tapi tiga personaliti dengan identiti tersendiri,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482419