EKONOMI

MATRADE Perkukuh Kehadiran Malaysia Di China Menerusi MIHAS@Shanghai

31/10/2025 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran China melalui penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) @Shanghai dari 5 hingga 10 Nov 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata acara itu yang diadakan bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) akan menampilkan penyertaan 250 syarikat Malaysia merangkumi sektor makanan dan minuman, produk pertanian, barangan pengguna cepat laris (FMCG), peralatan perubatan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan kewangan.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pemilihan Shanghai sebagai lokasi pameran tersebut adalah langkah strategik dan tepat pada masanya, susulan perkembangan pesat ekonomi halal global dalam sektor makanan dan minuman, logistik, farmaseutikal, kosmetik serta penjagaan diri.

“Pasaran menyeluruh ini dijangka berkembang daripada US$3.5 trilion kepada lebih US$5 trilion menjelang 2030, sekali gus mencerminkan potensi global yang amat besar,” katanya.

Beliau berkata peluang ini penting bagi pengeluar halal Malaysia yang dikenali dengan produk berkualiti dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa, sejajar dengan permintaan tinggi terhadap produk premium yang diyakini di China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata selepas kejayaan MIHAS@Dubai 2024 yang menjana jualan berjumlah RM2.2 bilion, edisi antarabangsa kedua di National Exhibition and Convention Center (NECC) Shanghai itu menyasarkan nilai dagangan keseluruhan berjumlah RM2.5 bilion.

“Kami yakin dapat mengatasi sasaran tahun lepas melalui program perolehan antarabangsa yang menumpukan sesi padanan perniagaan bersama 100 pembeli, termasuk 20 pembeli premium dari China, selain peserta dari India, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Brazil dan pasaran lain,” katanya.

Menurut MATRADE, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut pada 2024, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM484.25 bilion atau 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, perdagangan Malaysia-China meningkat 8.6 peratus kepada RM385.71 bilion, bersamaan 17.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Untuk sektor halal khususnya, eksport halal Malaysia meningkat 15 peratus kepada RM61.79 bilion pada 2024 berbanding 2023, dengan China menyumbang RM6.25 bilion dan kekal sebagai pasaran eksport halal kedua terbesar bagi Malaysia.

MIHAS@Shanghai turut menyokong sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mencapai eksport halal bernilai RM80 bilion, menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485586