AM

Sultanah Nur Zahirah Titah Semua Pihak Perlu Berperanan Sebagai "Khairul Ummah"

02/11/2025 04:08 PM

KUALA NERUS, 2 Nov (Bernama) -- Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bertitah semua pihak perlu berperanan sebagai “Khairul Ummah”, dengan menjadi umat terbaik bukan sahaja unggul dalam ibadah namun tampil dalam kepimpinan ilmu, keadilan sosial serta keutuhan nilai kemanusiaan.

Baginda yang juga Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menitahkan sebagai sebahagian daripada Khairul Ummah, graduan UniSZA dituntut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja demi kecanggihan tetapi juga untuk kemaslahatan dan seharusnya dijadikan alat untuk mengangkat martabat manusia. 

Justeru, Sultanah Nur Zahirah bertitah integrasi ilmu naqli dan aqli yang menjadi teras UniSZA amat penting supaya kemajuan teknologi tidak terungkai daripada akar ilmu, iman dan akhlak.

"Dunia kini menyaksikan sebahagian manusia hidup dalam kemewahan teknologi manakala sebahagian lain terperangkap dalam kemiskinan dan konflik. Konsep Khairul Ummah menuntut graduan UniSZA agar menjadi pemikul tanggungjawab untuk menegakkan keadilan global.

"Segulung ijazah yang diterima hari ini bukan penamat tetapi pembuka jalan. Ilmu yang dimiliki adalah amanah. Amal yang dilakukan selepas ini akan menjadi ukuran sama ada saudara dan saudari (graduan) termasuk dalam kalangan Khairul Ummah atau sebaliknya.

"Jadilah generasi yang mampu menggabungkan kecerdasan teknologi dengan kearifan nilai, menegakkan keadilan global dengan keberanian dan membina pembangunan sosial berlandaskan keutuhan adab," titah baginda pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Sultanah Nur Zahirah juga berkenan menzahirkan doa agar graduan UniSZA menjadi generasi “Khairul Ummah” yang membawa ilmu sebagai cahaya, teknologi sebagai alat, keadilan sebagai pedoman dan pembangunan adab sebagai misi.

Sebanyak 4,215 graduan UniSZA menerima Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Diploma Pascasiswazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada konvokesyen ke-17 yang bermula hari ini hingga 6 Nov.  

Pada majlis itu, legenda sukan olahraga negara Datuk Marina Chin turut menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486258