Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin susulan kekurangan pemangkin baharu bagi mata wang tempatan itu menjelang pengumuman beberapa data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS).
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.1980/2025 berbanding dolar AS 4.1860/1930 ketika ditutup pada Jumaat.
Menurut laporan, dolar AS diniagakan menghampiri paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan hari ini apabila para pelabur menunggu pengumuman beberapa data ekonomi penting AS minggu ini bagi menilai keadaan ekonomi negara itu serta kemungkinan berlaku perubahan dalam pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah.
Antara data yang ditunggu termasuk data pembuatan AS S&P Global dan Indeks Pembuatan ISM yang akan diumumkan lewat hari ini, serta data eksport dan import AS yang dijadual dikeluarkan esok.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pembuatan ISM AS dijangka mencatat 49.4 mata bagi Oktober berbanding 49.1 mata pada bulan sebelumnya.
“Indeks itu kekal di bawah paras sempadan 50 mata, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pengeluar sejak pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengumumkan langkah tarif Hari Pembebasan pada awal April,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ringgit menurun berbanding yen Jepun kepada 2.7230/7261 daripada 2.7162/7210 pada Jumaat lepas, susut berbanding pound Britain kepada 5.5099/5158 daripada 5.5025/5117, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.8344/8396 daripada 4.8453/8534 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2206/2243 daripada 3.2185/2241 pada Jumaat lepas dan menurun berbanding peso Filipina kepada 7.14/7.15 daripada 7.12/7.14 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9285/9483 daripada 12.9429/9702 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 251.7/252.1 daripada 251.7/252.2 sebelum ini.
-- BERNAMA