ALOR SETAR, 3 Nov (Bernama) -- Seramai 6,832 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM), yang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Nov ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM di Sintok.
Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata daripada jumlah itu, 5,575 graduan ialah penerima sarjana muda manakala 1,241 graduan pascasiswazah terdiri daripada penerima ijazah doktor falsafah, doktor pengurusan, doktor pentadbiran perniagaan dan ijazah sarjana.
“(Turut menerima ijazah) Sebanyak 16 orang graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan. Daripada 5,575 graduan sarjana muda, seramai 1,339 merupakan graduan ijazah kelas pertama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata majlis konvokesyen kali ini melibatkan 6,391 graduan tempatan manakala 441 lagi adalah graduan antarabangsa, antaranya dari Indonesia seramai 164 orang, China (109), Pakistan (36), Arab Saudi (23), Nigeria (21), Somalia (18), Iraq (17) dan lain-lain seramai 53 orang.
Katanya UUM juga meraikan 137 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian.
Mohd Foad berkata pada tahun ini, UUM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64.
"Ia sekali gus menjadikan keseluruhan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah adalah seramai 55 orang bermula dari majlis konvokesyen pertama pada 1988," katanya.
Dalam pada itu katanya penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima wang tunai RM7,500 serta sijil manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM4,000 serta sijil.
"Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah pada majlis konvokesyen kali ini," katanya.
Tambahnya sempena konvokesyen kali ini, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen (PESKON38) yang bermula pada 6 hingga 14 Nov dengan tema ‘Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan’.
-- BERNAMA