JOHOR BAHRU, 2 Nov (Bernama) -- Kesemua sekolah di negeri ini akan beroperasi seperti biasa esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan melakukan penyelarasan dengan Ranhill SAJ bagi memastikan agihan air menerusi tangki ke sekolah terjejas, sekiranya berlaku gangguan bekalan.
“Langkah itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselesaan murid serta guru,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebanyak 455,757 pemegang akaun atau hampir 1.8 penduduk di Johor terjejas secara berperingkat akibat pencemaran yang berlaku Jumaat lepas dan setakat ini, 54 peratus daripada jumlah itu telah menerima bekalan air.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata sebuah kolam cucian pasir pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah.
Beliau berkata kejadian melibatkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan itu mengakibatkan pencemaran Sungai Johor yang mencatatkan peningkatan luar biasa tahap kekeruhan iaitu sehingga 37,400 unit kadar kekeruhan (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
-- BERNAMA