EKONOMI

Lonjakan Harga Emas Peluang Terbaik Bagi Pelaburan Produk BIGA-i, Patuh Syariah -- BIMB

04/11/2025 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) --  Lonjakan harga emas melebihi 40 peratus sejak awal Januari 2024 menjadi peluang terbaik bagi membuat pelaburan Akaun Emas Bank Islam (BIGA-i), produk digital emas patuh syariah Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).

Ketua Ar Rahnu BIMB Wan Shahrum Wan Dahalan berkata pelanggan boleh membuat pelaburan produk di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan hanya minimum RM10 bagi individu atau RM50 bagi bukan individu seperti perniagaan atau organisasi.

“Jika diambil nilai harga emas semasa bagi membeli satu gram emas, pengguna perlu menyediakan sekurang kurangnya RM560.

“Pelaburan emas di BIGA-i sebaliknya berpatutan dan boleh ditukarkan daripada digital kepada bentuk fizikal pada bila-bila masa yang merangkumi 0.5 gram hingga 1 kilogram, termasuk dominasi dinar. Namun, ini tertakluk terma dan syarat pertukaran emas kepada bentuk fizikal oleh BIMB,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio di sini, hari ini.

Wan Shahrum berkata BIGA-i yang dilancarkan sejak Oktober 2024 juga tiada caj tersembunyi dan pembeli hanya perlu membuat pembayaran untuk emas yang dibeli tanpa dikenakan yuran tambahan.

“Namun, caj penyimpanan serendah 0.8 peratus setahun daripada nilai purata emas simpanan akan dikenakan bermula pada 1 Januari 2027,” katanya.

Lebih menarik lagi, katanya, pelanggan yang membuat pembelian sekurang-kurangnya satu gram emas secara bulanan melalui BIGA-i, juga berpotensi menunaikan haji apabila jumlah simpanan emas mereka mencukupi.

Selain itu, katanya, BIGA-i juga dapat mempelbagaikan portfolio pelaburan pelanggan, malah MorningStar iaitu antara syarikat pelaburan antarabangsa turut menyarankan agar pelanggan mempunyai 15 peratus daripada  portfolio pelaburan pelanggan dalam produk emas.

“Jika anda mempunyai lebihan wang atau ingin mempelbagaikan simpanan anda, BIGA-i ini merupakan pilihan bijak untuk menyimpan dan memulakan pelaburan emas dengan harga berpatutan.

“Ini kerana harga emas semakin meningkat iaitu sekitar RM377 satu gram pada Oktober 2024 dan setahun kemudian sekitar RM560 satu gram,” katanya.

Wan Shahrum berkata pelanggan juga boleh memantau pergerakan harga emas secara langsung melalui perkhidmatan perbankan internet dan perbankan mudah alih BIMB.

Beliau berkata mereka yang berminat perlu mempunyai sama ada akaun semasa, akaun simpanan atau Akaun Pelaburan Transaksi (CASATIA) dengan BIMB sebelum dapat membuka akaun BIGA-i yang boleh diakses melalui saluran digital BIMB Web dan BIMB Mobile.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486977