JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Hilang Di Bentong Ditemukan Selamat

04/11/2025 09:24 PM

KUANTAN, 4 Nov (Bernama) – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Chegar Medang Benus, Bentong, Ahad lepas ditemukan selamat petang ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Zaiham Kahar berkata Mohd Taib Ismail, 69, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 3.15 petang dalam keadaan lemah di kawasan semak berhampiran stesen sistem amaran banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Kampung Chegar Medang.

“Mohd Taib kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya belum memperoleh maklumat jelas berhubung tujuan Mohd Taib ke kawasan berkenaan kerana warga emas itu mempunyai masalah daya ingatan dan sedang mendapatkan rawatan hospital. 

Mohd Zaiham turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan SAR dan penduduk sekitar yang terlibat dalam membantu menyelamatkan Mohd Taib.

-- BERNAMA 



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487208