EKONOMI

Penerimagunaan AI Di Malaysia Meningkat 35 Peratus Tahun Ini - Amazon Web Services

04/11/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia meningkat sebanyak 35 peratus tahun ke tahun, dengan kira-kira 2.4 juta perniagaan pada masa ini telah menggunakan AI, menurut laporan Amazon Web Services (AWS), syarikat milik Amazon.com.

AWS dalam laporan bertajuk Unlocking Malaysia’s AI Potential berkata kadar penerimagunaan AI meningkat kepada 27 peratus tahun ini berbanding 20 peratus pada 2024, bersamaan kira-kira 630,000 perniagaan yang menggunakan AI tahun ini, atau lebih daripada satu perniagaan bagi setiap minit.

Walaupun penerimagunaan AI akan berkembang pesat, sebanyak 73 peratus daripadanya masih tertumpu kepada aplikasi asas.

"Hanya 31 peratus syarikat pemula niaga dan 15 peratus perusahaan besar sedang membangunkan produk berpacukan AI baharu yang sepenuhnya," katanya.

Laporan itu memaklumkan bahawa menggabungkan ketangkasan dan inovasi syarikat pemula niaga dengan skala serta sumber perusahaan besar boleh memanfaatkan potensi ekonomi Malaysia berpacukan AI.

Menurut AWS, produktiviti dan impak ekonomi daripada AI amat memberangsangkan, dengan 65 peratus perniagaan di Malaysia melaporkan perolehan yang lebih tinggi, dengan purata peningkatan sebanyak 19 peratus manakala 72 peratus memaklumkan peningkatan produktiviti yang ketara.

"Selain itu, 67 peratus responden menjangkakan penjimatan kos secara purata sebanyak 15 peratus," katanya.

Laporan itu yang dijalankan dengan kerjasama Strand Partners melakukan tinjauan terhadap 1,000 pemimpin perniagaan dan 1,000 orang awam di seluruh Malaysia bagi menilai skop dan prospek penerimagunaan AI di negara ini.

Pengurus Negara AWS Malaysia Hussein Mohd Ali berkata ekosistem AI Malaysia sedang membangunkan pengkhususan semula jadi yang mewujudkan kitaran inovasi yang kukuh.

“Syarikat pemula niaga membangunkan produk dan model perniagaan AI baharu, perusahaan membuktikan penyelesaian itu boleh diperluaskan dan sektor awam bertindak sebagai ‘peningkat kepercayaan’ yang menggalakkan penerimagunaan yang lebih meluas.

“Gelung maklum balas ini mewujudkan permintaan pasaran yang mendorong inovasi seterusnya. Bagi memastikan kitaran ini mencapai potensi penuhnya, kita mesti menangani jurang kemahiran. Hanya dengan itu kita dapat memesatkan ekonomi digital negara,” katanya dalam taklimat media hari ini.

Mengenai isu jurang kemahiran, Hussein berkata penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan kemahiran adalah penting berikutan lebih banyak lagi usaha yang boleh dilaksanakan untuk menangani batasan sedia ada.

Beliau berkata laporan itu menunjukkan sebanyak 52 peratus perniagaan mengenal pasti kekurangan kemahiran sebagai halangan utama sama ada di dalam atau luar organisasi mereka.

“Pada masa ini, 65 peratus perniagaan melaporkan peningkatan pendapatan, dengan purata sehingga 19 peratus daripada penerimagunaan AI. Itulah sebabnya meningkatkan kemahiran amat penting,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Hussein berkata AWS kekal komited untuk bekerjasama dengan pelanggan dalam semua segmen bagi menyediakan infrastruktur global dan membolehkan penskalaan digital secara besar-besaran untuk mempertingkat penerimagunaan AI.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487211