KLANG, 4 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan pilihan raya peringkat Persekutuan dan negeri secara serentak dilihat dapat meringankan beban rakyat terutamanya dari segi penjimatan kos bagi mereka yang pulang mengundi di kawasan masing-masing.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Datuk Ng Suee Lim berkata beliau menyokong penuh cadangan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan agar semua negeri sepakat menjalankan pilihan raya akan datang secara serentak.
"Masa juga dapat dijimatkan sebab kalau kita buat secara berasingan memberikan masalah kepada pengundi juga pemimpin. Boleh kalau hendak buat berasingan, itu hak setiap negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada bila-bila masa.
"Tetapi kalau kita boleh bincang dengan lebih baik dan boleh adakan pilihan raya serentak, kita dapat menjimatkan kos, malah pengundi hanya balik sekali saja tunai tanggungjawab," katanya pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam 2025 di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, Loke sekali lagi menyatakan pendirian DAP yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak di peringkat Persekutuan dan negeri, sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Ketika berucap di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025 di Siang Hai Recreation Centre, Loke dilaporkan berkata meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, DAP sebagai antara parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran, sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.
-- BERNAMA