JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Bunuh Dua Beranak: Sebutan Ditangguh 26 Nov Untuk Lantik Jurubahasa Nepal

04/11/2025 03:37 PM

BUKIT MERTAJAM, 4 Nov (Bernama) -- Prosiding pertuduhan terhadap seorang lelaki warga Nepal di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru pada 18 Okt lepas, ditangguhkan kepada 26 Nov ini.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh tersebut untuk sebutan semula kes bagi melantik jurubahasa Nepal untuk membaca pertuduhan ke atas Dinesh Kumar Mandal, 35, kerana tertuduh tidak fasih Bahasa Melayu.

Mahkamah turut tidak membenarkan jaminan bagi tertuduh yang sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 18 Okt lepas, mangsa Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan maut dalam rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, dengan mayat wanita itu di dapur dan kanak-kanak berkenaan di tingkat atas.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Okt lepas, sebelum menahan tiga lelaki Nepal termasuk Dinesh Kumar bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487012