DUNIA

Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2025 Dirasmikan Di Nanning

04/11/2025 04:51 PM

NANNING, 4 Nov (Bernama-CMG) -- Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2025, anjuran bersama Kumpulan Media China (CMG) dan kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, membuka tirainya di sini pada Isnin.

Majlis pembukaan yang berlangsung di ibu kota wilayah Guangxi itu menghimpunkan kira-kira 200 tetamu dari China dan lapan negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar.

Timbalan Ketua Pengarang CMG merangkap Ketua Pengarang CGTN, Fan Yun, ketika berucap pada majlis itu berkata, penganjuran Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN kali ini merupakan antara langkah proaktif CMG dalam memperkukuh hubungan perkongsian strategik komprehensif antara China dan ASEAN.

Beliau berkata CMG akan terus berganding bahu dengan rakan media ASEAN untuk meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI), data besar dan pengkomputeran awan dalam sektor media dan komunikasi, bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat daripada kerjasama berkenaan.

Selain itu, CMG komited mempertingkat koordinasi dengan rakan media ASEAN bagi menganjurkan lebih banyak aktiviti pertukaran budaya yang memenuhi minat dan cita rasa penonton pelbagai negara ASEAN, kata Fan.

Majlis pembukaan turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif penting bertujuan mengukuhkan kerjasama dan pertukaran media antara China dan ASEAN.

Antaranya termasuk “China Up Close” – lawatan bersama media ASEAN, projek promosi imej bandar Nanning dipacu AI, kempen pelancongan budaya “Melancong ke Guangxi&Thailand Menerusi Drama Mikro”, serta majlis penyerahan lesen harta intelek CMG.

Majlis berkenaan turut dihadiri ketua media dan wakil kementerian maklumat dari pelbagai negara ASEAN.

-- BERNAMA-CMG 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487038