AM

KKDW, Kejora Perkukuh Agenda Transformasi Pembangunan Luar Bandar Di Johor

04/11/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) akan memperkukuh agenda transformasi secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan luar bandar kekal berimpak tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook berkata komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan kepimpinan tertinggi KEJORA di Putrajaya, hari ini.

"Insya-Allah, perbincangan ini akan membawa anjakan baharu dalam usaha memperkukuh hala tuju KEJORA secara menyeluruh.

"Langkah ini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan luar bandar kekal berimpak tinggi serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam sesi itu beliau turut mendengar pembentangan Pelan Tindakan Transformasi KEJORA yang dirangka bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Johor Tenggara.

Beliau menegaskan KKDW akan terus komited memacu agenda pembangunan luar bandar yang lebih mampan, inklusif dan seimbang di seluruh negara termasuk di wilayah Johor. 

-- BERNAMA 



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487202