AM

Kerajaan Akan Laksana Pembaharuan Struktur Kawal Kenaikan Premium Insurans Perubatan

04/11/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan struktur untuk menangani isu kenaikan kos inflasi dan meningkatkan ketelusan dalam sistem perbelanjaan kesihatan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ia termasuk memperkenalkan produk asas perlindungan kesihatan mampu milik Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) menjelang akhir tahun depan.

“Ini memberi ruang untuk kita sampai hujung tahun depan untuk memperkenalkan produk MHIT asas, yang akan melebarkan penawaran yang ada dalam pasaran dan menjamin ada produk asas yang lebih baik di dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini. 

Amir Hamzah berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah ditubuhkan bagi melaksanakan pembaharuan itu.

Jawatankuasa itu katanya melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk industri insurans, Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pengamal perubatan am (GP) untuk memastikan pendekatan yang diambil adalah holistik.

“Kerajaan mahu buat pembaharuan struktur yang penting agar kita dapat mengawal kos di masa depan dengan pendekatan yang lebih baik dan melibatkan semua pihak agar penyelesaiannya mampan, bukan penyelesaian yang tampal sini, tampal sana, di sana sini,” katanya.

Menurut beliau, isu kenaikan kos inflasi perubatan adalah kompleks dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk hospital swasta dan pengguna.

Katanya antara pembaharuan utama yang dipersetujui adalah pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) dan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) yang lebih berasaskan hasil untuk meningkatkan ketelusan serta mengekang kenaikan kos.

"Selaras dengan strategi RESET, usaha dipergiatkan bagi membangunkan produk asas perlindungan kesihatan berasaskan nilai yang dijangka dapat ditawarkan pada 2027. Ini bagi memberi perlindungan mampu milik dengan premium lebih stabil," katanya.

Di samping itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga bersetuju untuk melebarkan liputan insurans sedia ada bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan.

“Perlindungan insurans asas akan keluar hujung tahun depan, kita akan umumkan perlindungan insurans asas itu. Dan kita akan juga melihat di mana pembiayaan perlindungan asas, mungkin kita boleh melihat penggunaan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pembaharuan jangka panjang amat penting untuk menangani punca sebenar inflasi perubatan, termasuk isu struktur kos hospital swasta, amalan klinikal tidak seragam dan ketelusan caj perubatan.

Beliau menambah matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat menikmati perlindungan kesihatan yang berkualiti, mampan dan berpatutan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487204