DUNIA

Lima Pelajar Lemas Semasa Aktiviti Tubing Di Jawa Tengah

05/11/2025 04:25 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Lima pelajar universiti Indonesia lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas dihanyutkan arus deras semasa melakukan aktiviti tubing di Jawa Tengah, menurut pegawai pada Rabu.

Mangsa, kesemuanya berusia 21 tahun, merupakan antara 15 pelajar dari Universiti Islam Negeri Walisongo di Semarang yang menyusuri Sungai Genting Jolinggo di Kampung Getas, Daerah Singorojo, Kabupaten Kendal, pada petang Selasa.

“Hujan lebat di kawasan hulu sungai menyebabkan arus semakin deras dan menghanyutkan kumpulan itu ke hilir sekitar 1.53 tengah hari waktu tempatan,” menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kendal dalam satu kenyataan.

Pasukan penyelamat kemudian menemukan mayat lima mangsa, masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan, manakala usaha mencari seorang lagi pelajar yang masih hilang sedang diteruskan.

“Pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk tempatan sedang berusaha gigih mengesan mangsa yang masih hilang,” kata penyelaras lapangan BPBD Kendal, Ahma Garlih.

Sembilan lagi pelajar yang menyertai program khidmat masyarakat universiti itu berjaya menyelamatkan diri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487441