AM

IJNUC Bakal Tawar Program Ijazah, Sarjana Dan Phd Kejururawatan, Penjagaan Jantung

04/11/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kolej Universiti IJN (IJNUC) akan menawarkan program ijazah, program pascasiswazah dan doktor falsafah (PhD) selaras dengan penarafan baharu institusi pengajian itu sebagai kolej universiti.

IJNUC dalam kenyataan hari ini memaklumkan institusi yang sebelum ini dikenali sebagai IJN College itu, akan menawarkan program dalam bidang kejururawatan, penjagaan jantung dan penjagaan kesihatan sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan tinggi dalam bidang klinikal dan kesihatan lanjutan.

Antara kursus yang bakal ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal, Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan (Kepujian) dan Diploma Kejururawatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib, penarafan baharu institusi itu ialah pencapaian penting untuk meningkatkan keupayaan menerusi program akademik dan latihan profesional dalam bidang penjagaan kesihatan sesuai dengan keperluan semasa dan masa depan Malaysia.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen IJN Holdings untuk mengintegrasikan amalan klinikal bertaraf dunia dengan kecemerlangan akademik.

“Melalui IJNUC, kami berhasrat melahirkan tenaga kerja kesihatan yang mahir dan berempati, yang akan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penjagaan perubatan khusus,” katanya.

Terdahulu, pelancaran IJNUC hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Naib Canselor Kolej Universiti IJN Prof Emerita Dr Durrishah Idrus.

 IJNUC yang mempunyai tiga fakulti utama, iaitu Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Sains Pengurusan dan Fakulti Kejururawatan, mendapat status sebagai kolej universiti secara rasmi pada 13 Mei lepas.

Antara kursus utama yang ditawarkan termasuklah Graduate Certificate in Cardiovascular and Thoracic Sciences (GCCVTS), yang hingga kini telah melahirkan lebih 500 siswazah dan berkhidmat di pelbagai institusi kesihatan terkemuka tempatan dan luar negara.

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah ke hadapan, IJNUC akan mula memperkenalkan program baharu peringkat sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang fisioterapi, farmasi, psikologi dan kejururawatan.

Selain itu, sebagai langkah mengukuhkan peranan IJNUC sebagai hab utama pendidikan kesihatan bertaraf nasional, pusat pengajian itu merancang menawarkan program kedoktoran dalam pembedahan kardiotorasik, kardiologi, pediatrik dan anestesiologi serta beberapa program lain.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487155