JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Pahang Rampas Ganja Bernilai RM5.34 Juta

11/11/2025 12:21 PM

KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan bunga ganja bernilai RM5.34 juta di Pahang tumpas hasil dua serbuan berasingan di Bentong dan Maran pada Selasa dan Khamis lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam serbuan pertama pada 4 Nov di Bentong, pihaknya menemukan 240 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 140.4 kilogram (kg) di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry yang ditinggalkan di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

“Nilai pasaran dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM5.04 juta bersamaan RM36,000 bagi  1kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan berkenaan mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki warga tempatan beralamat di Johor Bahru, dan usaha mengesan pemilik kenderaan sedang dijalankan.

Bagi serbuan kedua pada 6 Nov, Yahaya berkata pihaknya telah menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar bersama 102 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis ganja seberat 98kg bernilai RM 303,800. 

“Serbuan dijalankan dengan menahan sebuah kereta Perodua Ativa di kawasan hentian rehat & rawat Maran menghala ke Kuala Lumpur. Suspek ini mendapat upah sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 untuk setiap penghantaran dan ini bukan kali pertama dilakukan suspek,” katanya.  

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, selain mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489357