AM

10 Hasil Ciptaan Inovasi MINDEF Dalam Proses Paten – Mohamed Khaled

11/11/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 10 permohonan paten hasil ciptaan inovasi oleh warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) dikemukakan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan kini dalam proses pendaftaran rasmi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata usaha itu bertujuan melindungi hak cipta terhadap produk inovasi berimpak tinggi yang berpotensi untuk diaplikasikan merentasi semua perkhidmatan di bawah MINDEF.

“Buat kali pertama dalam sejarah inovasi MINDEF, 10 permohonan paten telah dikemukakan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan kini dalam proses pendaftaran bagi melindungi hasil ciptaan pejuang-pejuang inovasi kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi MINDEF 2025 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF Mohd Yani Daud dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib.

Antara inovasi yang diketengahkan ialah Free Energy Water Pump (FEWP) 2.0 mudah alih yang berfungsi menggunakan tenaga solar serta mampu menapis air untuk menghasilkan air bersih di kawasan bergolak atau terjejas bencana.

Mohamed Khaled menjelaskan inovasi merujuk kepada keupayaan mencipta, memperbaharui dan menambah baik sesuatu secara berterusan berasaskan nilai kemanusiaan, etika dan tanggungjawab sosial demi manfaat organisasi seperti MINDEF.

“Budaya inovasi diterjemahkan melalui nilai Malaysia MADANI seperti daya cipta, kemampanan dan kesejahteraan yang mendorong kita berfikir di luar kebiasaan bagi meningkatkan kecekapan serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata kejayaan warga MINDEF yang meraih enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Korea Selatan dan Indonesia, turut dihargai.

“Di DSA (Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia) 2024 dan LIMA (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi) 2025 pula, hasil inovasi MINDEF bukan sahaja menyerlah di peringkat dunia, malah menjimatkan jutaan ringgit kos kerajaan serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan,” katanya.

Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global meningkat ke tangga ke-33 pada 2024 berbanding tangga ke-36 sejak 2021 hingga 2023, membuktikan usaha inovasi negara berada pada landasan tepat.

Mohamed Khaled berkata integriti dan inovasi merupakan dua nilai yang saling melengkapi, selari tema sambutan tahun ini, “Pertahanan Berintegriti, Inovasi Berkualiti, Aspirasi Malaysia MADANI.”

“Gabungkan integriti sebagai asas dan inovasi sebagai sayap kemajuan. Marilah kita terus membina MINDEF sebagai satu kementerian yang kuat, berdaya saing dan sentiasa dihormati,” katanya.

Beliau berkata integriti bukan sekadar slogan tetapi benteng yang melindungi organisasi daripada ketirisan, pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Di MINDEF, kita bukan sekadar mengurus perolehan berbilion ringgit, tetapi memikul amanah lebih besar iaitu keselamatan dan kedaulatan negara serta kebajikan para perwira yang berkorban demi tanah air,” katanya.

Menurut MINDEF, sambutan kali ini turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada 18 pemenang Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) peringkat kementerian, empat pemenang Pilihan Juri serta 11 pemenang pertandingan antarabangsa termasuk Seoul International Invention Fair (SIIF 2024) dan International Invention, Innovation and Design (IID 2025).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489401