TAWAU, 18 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Samasuddin Yusop, bertekad memperkasa ekonomi wanita di kawasan itu sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Samasuddin berkata antara usaha yang akan dijalankan termasuk menyediakan platform jaringan perniagaan serta memperkukuh kemahiran belia wanita.
“Bagi pengundi wanita, antara maklum balas yang diterima semasa program Jelajah BN sebelum ini ialah keperluan platform pemasaran produk.
“Ramai wanita di sini menjalankan perniagaan dari rumah dan memohon bantuan pemasaran produk mereka.
"Kita akan melihat keperluan pengundi wanita di DUN Tanjung Batu dan akan membantu dengan membawa agensi berkaitan mengajar mereka bermula dengan produksi, pembungkusan dan seterusnya dari segi pemasaran digital," katanya ketika ditemui Bernama di Program Titik Temu Pasir Putih Blok C di sini.
Menurutnya semasa program Jelajah BN itu, belia wanita di DUN Tanjung Batu juga mahu supaya wanita diberikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membantu peningkatan ekonomi golongan itu.
Samasuddin berkata turut menjadi tumpuannya sekiranya pengundi Tanjung Batu memberinya mandat pada PRN Sabah ke-17 ini ialah berusaha mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan terbabit.
Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| N71: TANJUNG BATU: SABAH: 27,428 | ||||||||||
|
||||||||||
| (2020: Andi Muhammad Suryady Bandy: BN-UMNO: Maj: 2,123) |
-- BERNAMA