AM

Yayasan Peneraju Perkukuh Kerjasama Dengan CIMA Malaysia Dalam Pembangunan Bakat 

18/11/2025 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP) mengukuhkan kerjasama jangka panjang dengan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) menerusi pelancaran rasmi CIMA Malaysia sebagai Approved Learning and Training Institution (ALTI).

Menurut kenyataan YP, penyertaan CIMA sebagai ALTI berkuat kuasa September lepas sekali gus menandakan satu lagi peristiwa penting dalam komitmen berterusan YP untuk memperluas akses kepada laluan pensijilan profesional yang diiktiraf pada peringkat global di bawah skim pembiayaan baharu. 

Ketua pegawai eksekutif YP Ibrahim Sani berkata skim pembiayaan baharu itu membolehkan bakat bumiputera untuk memperkukuh profesional mereka sambil menentukan sendiri penyedia latihan atau ALTI pilihan mereka. 

"Pada 2026, kami menyasarkan melatih 2,000 akauntan bertauliah sebagai sebahagian iltizam untuk melahirkan 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030.

"Dengan CIMA sebagai ALTI YP, kami yakin perkongsian ini akan membantu kami merealisasikan impian berkenaan dan melahirkan profesional bumiputera yang mampu bersaing dan memimpin pada pentas antarabangsa," katanya dalam kenyataan itu.

Setakat ini, lebih 9,000 bakat bumiputera telah memperoleh manfaat daripada program perakaunan profesional Yayasan Peneraju di seluruh negara.

Ibrahim berkata dengan menjadikan badan perakaunan profesional sebagai ALTI, YP merintis peluang untuk mereka dilatih secara langsung oleh CIMA, dan bukan melalui institut latihan.

"Ideanya adalah untuk mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, dan menyampaikan sukatan pelajaran secara langsung tanpa perantara. Ini langkah berani YP dan CIMA untuk melatih akauntan profesional,” katanya.

Dengan pelantikan ini, kebanyakan program profesional CIMA kini boleh didapati di bawah Skim Pembiayaan Yayasan Peneraju, termasuk Program Kepimpinan Kewangan CGMA® (FLP) Skills Plus, Program Kepimpinan Kewangan CGMA®(FLP) Skills Core, Program CFO, Program Eksekutif Kanan (SEP) dan Program Pemimpin Kanan CIMA–MIA.

YP berkata program-program ini direka untuk melengkapkan peserta dengan keupayaan perakaunan pengurusan dan kepimpinan lanjutan, membantu untuk memperoleh gelaran Akauntan Pengurusan Global Bertauliah (CGMA), kelayakan bertaraf dunia yang diiktiraf di 188 negara.

Sementara itu, Pengarah Pasaran Asia Tenggara, Institut CPA Amerika (AICPA) & CIMA Saritha Subramaniam berkata kerjasama berkenaan memperlihatkan komitmen bersama untuk pembangunan bakat dan memajukan pembelajaran sepanjang hayat, yang menjadi pemacu penting pertumbuhan serta daya saing global Malaysia.

“Selaras dengan komitmen itu, kami juga dengan berbesar hati mengumumkan kohort pertama CGMA Bumiputera Career Accelerator dan Bumiputera Leadership Growth Accelerator Initiative, dengan penyertaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkemuka.

“Program-program ini direka untuk menyokong graduan bumiputera berpotensi tinggi dan profesional berpengalaman dalam mempercepat perkembangan kerjaya mereka melalui kelayakan CGMA,” katanya. 

Individu yang berminat untuk mengikuti program profesional CIMA di bawah Skim Pembiayaan YP boleh memohon melalui portal rasmi CIMA Malaysia di https://bit.ly/3W4B5hl atau layari https://peneraju.org untuk maklumat lanjut tentang pilihan pembiayaan fleksibel YP.

Peluang ini terbuka kepada profesional dan pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran selain pelajar universiti yang berminat untuk mengikuti kerjaya dalam perniagaan dan kewangan.

-- BERNAMA

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492408