JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zayn Rayyan: Mahkamah Tetapkan 4 Dis Dengar Permohonan Tangguh Hukuman Ismanira

19/11/2025 01:50 PM

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Dis ini untuk mendengar permohonan Ismanira Abdul Manaf bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lepas.

‎Penolong Pendaftar Kanan Nadiah Misman membuat keputusan itu selepas peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Ismanira, memfailkan permohonan berhubung perkara tersebut hari ini.

‎Pada 31 Okt lepas, Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

‎Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Okt, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

‎Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

‎-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492558