PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Situasi monsun timur laut (MTL) sedang dipantau dengan rapi setiap hari bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau meninjau kesiapsiagaan pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara di Pusat Kawalan Bencana Negara Pulau Meranti, Puchong untuk mendengar taklimat pengurusan bencana hari ini.
"Saya dimaklumkan bahawa seramai 11,009 mangsa daripada 3,839 keluarga telah ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) melibatkan 14 daerah di tujuh negeri.
"Mobilisasi lebih 100,000 anggota dan aset dari Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya telah digerakkan ke lokasi-lokasi operasi bagi memastikan kesiapsiagaan bantuan serta menyelamat," menurutnya dalam hantaran di media sosial rasmi.
Shamsul Azri juga meminta semua anggota pasukan terbabit agar memberi keutamaan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia khususnya di kawasan terjejas agar mereka dapat meneruskan peperiksaan dalam keadaan baik dan selamat.
Sebanyak tujuh negeri terjejas banjir iaitu Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah, Terengganu, Selangor serta Kelantan dan jumlah mangsa setakat 8 pagi meningkat kepada 10,922 orang dengan Kelantan merekodkan bilangan paling tinggi yang ditempatkan di 33 PPS.
Musim MTL bermula pada 13 Nov lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.
-- BERNAMA