DUNIA

Poland Tahan Suspek Selepas Serangan Bom Di Landasan Kereta Api

25/11/2025 08:23 AM

WARSAW, 24 Nov (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa Poland mengenal pasti dan menahan suspek ketiga serangan bom terhadap landasan kereta api di negara itu awal bulan ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Warga Ukraine itu didakwa membantu dua suspek utama yang masih bebas, dalam melakukan persiapan  serangan itu, kata jurucakap pejabat pendakwa raya pada Isnin.

Penyiasat percaya dia membawa rakan senegaranya ke landasan kereta api berkenaan pada September, membiasakan mereka kepada kawasan itu dan menunjukkan lokasi untuk meletakkan bahan letupan.

Landasan itu musnah pada pertengahan November akibat letupan di laluan kereta api strategik dari Warsaw ke Lublin. Tiada kecederaan dilaporkan kerana pemandu kereta api menyedari kerosakan dan melaporkannya. Kerja pemeriksaan seterusnya menemui kerosakan lain pada laluan sama.

Penyiasat mengesyaki dua warga Ukraine berusia 39 dan 41 tahun sebagai individu yang melakukan sabotaj. Selepas serangan, mereka dipercayai melarikan diri merentasi sempadan ke Belarus.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494836