KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pemain piano muda negara Vincent Ong melakar kejayaan membanggakan apabila disenarai antara 11 finalis Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ke-19 kini berlangsung di Warsaw, Poland.
Menurut laman rasmi pertandingan itu, seramai 642 peserta dari 28 negara menghantar penyertaan bagi edisi tahun ini, dengan 171 dipilih ke pusingan awal sebelum hanya 11 berhaya melangkah ke peringkat akhir.
pic-2
Senarai finalis turut menampilkan peserta dari China, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Poland, Georgia dan Malaysia dengan dengan Ong mewakili negara di pentas antarabangsa bersama nama besar dunia muzik klasik seperti Kevin Chen (Kanada), Eric Lu (Amerika Syarikat) dan Piotr Alexewicz dari Poland.
Pusingan akhir yang berlangsung dari 18 hingga 20 Okt di ibu negara Poland itu menyaksikan setiap peserta mempersembahkan dua karya legenda muzik Poland, Fryderyk Chopin, termasuk karya ikonik Polonaise-Fantaisie (Op. 61), selain satu konsert piano pilihan masing-masing diiringi Orkestra Filharmonik Kebangsaan Warsaw.
Persembahan anak Pulau Pinang berusia 24 tahun itu turut disiarkan di laman YouTube rasmi Chopin Institute dan setakat ini menerima hampir 140,000 tontonan.
pic-3
Pelbagai reaksi positif diterima di ruangan komen antaranya pengguna akaun @mandypioano9131 yang menulis: “Beautiful soulful piano music”.
Pengguna lain, @shjeong615 turut memuji persembahan Ong dengan komen ringkas: “What a wonderful and beautiful performance! Bravo!,” komennya.
Keputusan pemenang dijangka diumumkan lewat malam Isnin waktu Poland, bersamaan awal pagi Selasa waktu Malaysia.
Pertandingan yang dianjurkan setiap lima tahun sekali sejak 1927 itu diiktiraf sebagai antara pentas paling berprestij dalam dunia muzik klasik dan sering menjadi batu loncatan kepada kerjaya antarabangsa pianis muda.
-- BERNAMA