KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat kejadian memukul wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol di Bangsar hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan badan selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
“Pegawai penyiasat akan memohon perintah untuk siasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
Mangsa yang merupakan pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 membuat laporan polis pada 4 petang.
Hoo berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mohd Adnan Alias menerusi talian 019-216 2272 atau Hotline Polis Daerah Brickfields 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, Haresh menerusi hantaran di laman X memaklumkan diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
-- BERNAMA