KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan tidak boleh diterima sama sekali, kerana ia tidak mencerminkan semangat kesukanan dan nilai integriti yang diperjuangkan oleh badan induk itu.
“FAM berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan ditegakkan.
“Pada masa sama, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media serta memastikan ruang yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan antara semua pihak yang terlibat dalam industri sukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusoff berkata demikian bagi mengulas mengenai kes serangan terhadap wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol di Bangsar, di sini, semalam.
Mohd Yusoff juga berkata FAM mendoakan agar Haresh berada dalam keadaan baik dan terus diberikan kekuatan selepas insiden yang tidak diingini itu.
Terdahulu, Haresh, pengasas bersama portal berita TwentyTwo13, memaklumkan melalui hantaran di laman X bahawa beliau diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya, manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook, dalam kenyataan hari ini memaklumkan polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
-- BERNAMA