EKONOMI

KL20 Terima Lebih 48,000 Permohonan Merentas 12 Inisiatif - MOSTI

25/11/2025 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak lebih 48,000 permohonan diterima sehingga 31 Ogos lepas, merentas 12 inisiatif di bawah Pelan Tindakan KL20, dengan lebih 46,000 penerima manfaat, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI menjelaskan menerusi portal Tetingkap Tunggal MYStartup, sebanyak 4,448 syarikat pemula aktif telah mendaftar dan jumlah tersebut menunjukkan terdapat minat dan sambutan yang luar biasa bagi inisiatif yang ditawarkan melalui Pelan Tindakan KL20.

“Pada 2025, kedudukan Kuala Lumpur telah meningkat ke tangga ke-18 dalam senarai ‘Emerging Startups Ecosystems’ yang diterbitkan Startup Genome berbanding pada 2024 apabila Kuala Lumpur berada di tangga 21-30,” tambah kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOSTI menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai langkah strategik kementerian dalam membina bakat relevan, memperkukuh ekosistem syarikat pemula serta menarik pelabur selaras aspirasi kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab global syarikat pemula.

Pelan Tindakan KL20 dilancarkan pada 23 April, 2024 yang menggariskan 12 inisiatif utama bagi menyokong usaha menempatkan Kuala Lumpur sebagai antara 20 ekosistem syarikat pemula terbaik di peringkat global menjelang 2030, jelas kementerian itu.

Sempena kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, MOSTI telah diberikan mandat oleh Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (COSTI) untuk menerajui Inisiatif Startup ASEAN dengan pelantikan Cradle Fund Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana.

“Langkah ini bukan sahaja mampu memangkinkan pembangunan ekosistem syarikat pemula tempatan, malah turut memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” menurut kementerian itu.

MOSTI memaklumkan Inisiatif Startup ASEAN dilaksanakan berlandaskan Teras Strategik Keempat iaitu Digitally Resilient ASEAN justeru, Startup ASEAN Platform telah dilancarkan yang merangkumi pangkalan data, penjenamaan dan kandungan yang dikhususkan untuk ekosistem syarikat pemula di Asia Tenggara.

Portal itu juga berperanan sebagai tetingkap tunggal untuk menghubungkan syarikat pemula dengan pelabur, bakat, rakan strategik, serta program pembangunan kapasiti serantau, jelasnya.

Sejak pelancarannya, sebanyak 8,683 syarikat pemula dan 1,739 pelabur telah berdaftar di portal tersebut  sekali gus menunjukkan minat dan sambutan yang tinggi bagi syarikat pemula dan pelabur serantau. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495303