JENAYAH & MAHKAMAH

Pensyarah Rugi Lebih RM900,000 Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

26/11/2025 10:16 AM

JASIN, 26 Nov (Bernama) -- Seorang pensyarah wanita mengalami kerugian sebanyak RM914,758 selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulang pantas melalui media sosial sejak Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata mangsa berusia 40 tahun dan telah berkahwin itu berminat dengan tawaran pelaburan belajar dagangan saham menggunakan aplikasi yang diiklankan di laman sosial sebelum menekan pautan iklan itu pada 28 Julai lepas.

“Susulan itu, mangsa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan diperdaya menyertai pelaburan yang kononnya mampu memberi keuntungan dalam tempoh dua hingga lima minit. 

"Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi berkenaan melalui pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lee berkata bermula 1 Sept hingga 18 Okt lepas, mangsa telah membuat sebanyak 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek menggunakan wang simpanan, pinjaman bank serta pinjaman daripada ahli keluarga.

“Mangsa kemudian diarahkan sekali lagi membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai yuran suku tahun sebelum keuntungan boleh dikeluarkan, namun menyedari dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 Nov lepas,” katanya.

Lee berkata polis kini sedang menyiasat kesemua akaun bank yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutamanya yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

“Penggunaan akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan adalah antara tanda amaran awal bahawa skim tersebut meragukan. Orang ramai juga digesa menyemak nombor telefon, akaun bank atau nama syarikat meragukan melalui portal semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat transaksi,” katanya.

Lee turut mengingatkan masyarakat supaya segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 24 jam jika menjadi mangsa bagi meningkatkan peluang sekatan transaksi wang.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495366