JENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh Ditahan Disyaki Terlibat Proses Dan Edar Ketum

26/11/2025 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran daun ketum di sebuah perumahan di Sungai Buloh, Selangor menerusi Ops Pematuhan, awal pagi tadi.

Hasil pemeriksaan dan serbuan sepanjang operasi dari pukul 12 tengah hari semalam hingga 5 pagi itu turut membawa kepada rampasan sejumlah 655 kilogram daun ketum yang ditemukan di dalam beberapa buah kenderaan dan premis kediaman yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan serta pemprosesan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata turut dirampas ialah 251.5 liter air ketum yang disimpan di dalam tong ais dan botol pelbagai saiz, dipercayai siap untuk diedarkan.

“Dua buah kenderaan turut disita untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM65,000, dan semua barang kes serta individu ditahan berumur antara 21 hingga 41 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia memandang serius kegiatan pengedaran daun ketum dan air ketum kerana bahan itu boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat, selain turut mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan dengan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara terjamin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495707