KANGAR, 26 Nov (Bernama) -- Polis menutup sementara jalan dan View Point Wang Kelian dekat Padang Besar bermula 7 malam tadi kepada semua pengguna berikutan risiko keselamatan disebabkan keadaan cuaca dan struktur jalan tidak stabil.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata keputusan itu hasil penelitian risiko serta perbincangan dengan agensi keselamatan dan teknikal di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sungai Chuchuh petang tadi.
“Penutupan ini sehingga Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan laluan itu kembali stabil, sesuai dan selamat digunakan. Keselamatan pengguna menjadi keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain JKR, Mohd Shokri berkata agensi terlibat dalam perbincangan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Beliau berkata polis dan agensi keselamatan kini melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan terjejas dan pembukaan semula jalan akan dimaklumkan selepas disahkan benar-benar selamat.
-- BERNAMA