EKONOMI

Cheng & Co Perluas Khidmat Urus Kekayaan Dengan Ambil Alih Alpadis Trust Labuan

27/11/2025 07:03 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 27 Nov (Bernama) -- Cheng & Co Group telah mengukuhkan keupayaan pengurusan kekayaan serantaunya dengan pengambilalihan Alpadis Trust (Labuan) Limited, yang kini secara rasminya dikenali sebagai Indah International Trust Limited.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Chua Hock Hoo berkata pengambilalihan itu mewakili evolusi berterusan dalam keupayaan kumpulan itu. 

“Ia bukan sahaja mengembangkan perniagaan kami, tetapi juga tujuan, jangkauan dan tanggungjawab kami untuk memberi khidmat kepada perniagaan dengan kecanggihan global yang lebih baik,” katanya pada majlis pengumuman pengambilalihan itu di sini hari ini. 

Ditubuhkan pada 1993, Cheng & Co Group ialah sebuah organisasi perkhidmatan profesional pelbagai disiplin dengan kepakaran dalam bidang bukan audit, cukai, nasihat, tadbir urus, perkhidmatan korporat dan penstrukturan rentas sempadan, yang disokong oleh 19 cawangan di seluruh Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Perth, Australia. 

Chua berkata rangka kerja pertengahan pesisir Labuan yang mantap, yang menyokong struktur amanah, yayasan dan platform pejabat keluarga berbilang (MFO), terus menjadikan bidang kuasa itu sebagai pilihan utama dalam kalangan keluarga Asia dan global untuk mencari perlindungan kekayaan jangka panjang. 

“Sejak 2010, Labuan telah dianggap sebagai salah satu bidang kuasa paling menarik di Asia untuk menubuhkan yayasan sebagai wahana pejabat keluarga.

“Hari ini, keluarga mungkin meneroka untuk membuka pejabat keluarga mereka di Singapura, Hong Kong atau Johor, termasuk di Forest City, yang semakin menarik minat mereka. 

“Bagaimanapun, apabila ia menyentuh mengenai struktur pegangan bagi perlindungan kekayaan jangka panjang, Labuan kekal sebagai pilihan yang lebih baik,” katanya.  

Chua juga berkata Labuan menawarkan keseimbangan perlindungan yang unik, cukai yang lebih cekap, pematuhan antarabangsa dan fleksibiliti yang tidak disediakan oleh pusat lain pada tahap yang sama. 

“Memandangkan kini Indah International Trust sudah berada di bawah Cheng & Co Group dan platform MFOnya telah dilancarkan tahun lepas, saya yakin kumpulan ini berada pada kedudukan yang baik untuk menarik lebih banyak pejabat keluarga dibuka di Labuan.

“Ia mengukuhkan ekosistem Labuan dan meningkatkan peranan Cheng & Co Group dalam menyokong rancangan dan legasi generasi akan datang,” katanya. 

Beliau berkata pencapaian penting itu adalah sejajar dengan pelan strategik tiga tahun kumpulan tersebut yang tertumpu kepada inovasi, kemampanan dan penciptaan nilai jangka panjang, dengan pengambilalihan secara langsung mengukuhkan kehadirannya di peringkat antarabangsa. 

Katanya, tranformasi Labuan daripada pusat luar pesisir kepada hab kewangan pertengahan pesisir yang boleh dipercayai, yang dipandu oleh pematuhan yang lebih kukuh, tadbir urus yang lebih jelas dan seiring dengan standard cukai OECD dan rangka kerja peralihan anti-keuntungan BEPS. 

“Hari ini, Labuan dengan bangganya berdiri sebagai bidang kuasa pertengahan pesisir yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya, sambil menambah bahawa Labuan IBFC Inc. terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan bidang kuasa itu di peringkat global, disokong oleh pengawasan kawal selia Labuan FSA. 

“Bersama-sama, mereka membentuk ekosistem yang seimbang, menggabungkan kekuatan kawal selia dengan capaian global, dan mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai hal kewangan pertengahan pesisir terkemuka Asia Pasifik,” kata Chua. 

Menurut Chua, ekosistem yang kukuh itu membolehkan firma profesional seperti Cheng & Co, yang menyediakan perkhidmatan bukan audit, cukai, nasihat, tadbir urus, perkhidmatan korporat dan penstrukturan rentas sempadan, untuk memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan Labuan pada fasa seterusnya. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496184