KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini memperkenalkan kenderaan elektrik bateri (EV) pertamanya, QV-E berharga RM80,000 sebelum insurans dan tidak termasuk bateri, menandakan langkah penting dalam usaha pembuat kereta nasional itu membangunkan ekosistem EV yang mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan melibatkan lebih 100 pakar tempatan.
Beliau berkata di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan pada 1 Sept 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.
“Apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri usulkan kepada saya untuk menetapkan pada September 2023, suatu hala tuju yang agak jelas menuntut Perodua menyiapkan peluncuran EV, saya berasa sedikit gusar kerana merasakan matlamat itu agak terlalu bercita-cita tinggi dan mungkin kita belum memiliki kemahiran dan kepakaran tempatan yang mencukupi.
“Namun hari ini, saya sangat bangga bukan sahaja dengan peluncuran EV Perodua ini tetapi kerana ia dihasilkan melalui kepintaran, disiplin, usaha dan kegigihan anak-anak tempatan,” kata beliau pada majlis peluncuran kereta QV-E di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata jika mempunyai tekad, disiplin dan keyakinan, ia dapat dibuktikan bahawa bukan sahaja Perodua, malah Malaysia dapat mengangkat martabat dan harakat negara ini.
Beliau berkata Perodua telah beroperasi selama 32 tahun, memenuhi mandat dan menerajui aspirasi negara dalam bidang perindustrian, teknologi dan kemahiran.
“Kerjasama yang diberikan, terutamanya oleh MITI adalah membanggakan kerana mengambil sikap yang lebih positif dengan matlamat menjayakan aspirasi negara MADANI dan prinsip-prinsip yang diutamakan dalam memenuhi tanggungjawab di Perodua ini.
“Ini bukan peluncuran biasa. Ini peluncuran istimewa negara kita,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Perodua membuktikan bahawa meskipun ada kekangan kerana pemindahan teknologi itu agak lambat atau kurang, didapati ada kekuatan dalaman Perodua, universiti tempatan, pendidik dan saintis tempatan.
Beliau berkata Malaysia kini bergerak kepada satu tahap baharu dalam pembangunan kenderaan elektrik, turut diperkukuh dengan pelbagai kemudahan dan inisiatif digital, sekali gus menjadikan kenderaan tempatan lebih moden, berteknologi tinggi dan berdaya saing dengan pemain industri lain.
Anwar berkata kerajaan akan terus menggandakan usaha mempromosi dan mencari pasaran di dalam mahupun luar negara serta beliau sendiri bersedia memenuhi peranan sebagai “ejen Perodua” dalam setiap kunjungan rasmi bagi menyokong perluasan industri automotif negara.
Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen automotif untuk QV-E dan Perodua merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada 70 vendor menjelang 2030.
Katanya Perodua berjaya mengeluarkan kenderaan elektriknya dalam tempoh 28 bulan melalui sokongan penuh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
Beliau berkata QV-E yang dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua, iaitu Smart Mobility Plant, boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan pada masa ini dan akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga 2026.
“Perjalanan pembangunan kreatif ini bermula dengan kerjasama beberapa universiti tempatan dan usaha ini untuk memastikan pembangunan modal insan terutamanya kemahiran dalam bidang penyeberangan elektrik, teknologi bateri dan mereka bentuk berlaku seiring dengan teknologi baharu.
“Kesemua ciri yang terdapat pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami,” katanya.
Beliau berkata sasaran pembeli utama untuk QV-E ialah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian atau kegunaan santai pada hujung minggu.
“Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai ‘Battery as a Service’ yang dijual secara berasingan dengan kereta.
“Konsep ini menawarkan penyelesaian terhadap kebimbangan pemilik EV. Dengan adanya perkhidmatan ini, kami mampu menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat kepada pelanggan kami demi ketenangan minda mereka,” katanya.
QV-E didatangkan dalam dua warna iaitu, ‘Ice Blue’ dan ‘Caviar Grey’ serta hanya boleh didapati di cawangan Perodua terpilih sahaja.
-- BERNAMA