KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) memperbaharui reka bentuk ‘standee’ DuitNow QR (kod respons pantas) bagi meningkatkan kebolehlihatan dan keseragaman piawaian QR kebangsaan.
Menurut PayNet, kemas kini berkenaan hanya melibatkan aspek visual tanpa sebarang perubahan terhadap fungsi, keselamatan atau kebolehoperasian DuitNow QR, yang membolehkan pengguna untuk terus membuat pembayaran seperti biasa manakala peniaga boleh menerima bayaran seperti sediakala.
“Pelaksanaan 'standee’ baharu telah bermula pada Oktober 2025, dengan RHB Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, MBSB Bank dan Agrobank adalah antara bank terawal memperkenalkannya kepada peniaga mereka.
“Ini akan disusuli CIMB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, AmBank (M) Bhd, Bank Simpanan Nasional dan Bank Muamalat Malaysia Bhd dan seterusnya diikuti bank-bank lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PayNet, pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat bagi memastikan peralihan yang lancar merentasi seluruh ekosistem.
Peniaga disarankan untuk menggunakan ‘standee’ yang ditambah baik ini sebaik sahaja disediakan oleh pemeroleh masing-masing, katanya.
-- BERNAMA