GAYA HIDUP

Rubini Pecah Stereotaip Pelakon India Malaysia, Berani Cabar Tradisi

02/12/2025 10:35 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kehadiran Rubini Sambanthan dalam sinema Tamil Malaysia semakin berpengaruh, bukan sahaja lakonannya yang mantap tetapi berani mencabar pemikiran konservatif apabila tampil sebagai pelakon wanita India tempatan yang bercakap “rojak” Tamil-Inggeris.

Pelakon dan bekas ratu cantik itu yang mula meraih perhatian khalayak menerusi siri Aadhira terbitan Astro Vinmeen, bakal membuat kemunculan dalam Peggy in Blues, sekuel filem terkenal Jagat. 

Watak dalam drama tersebut katanya menjadi sesuatu yang amat peribadi kerana isu berkaitan bahasa.

“Saya benar-benar fikir saya tidak akan dapat watak itu. Tapi apabila dapat tawaran itu, saya rasa seperti dikejutkan. Seseorang seperti saya yang cakap Tamil stail berbeza juga layak diberikan ruang di layar,” katanya kepada Bernama.

Rubini berkata jalan cerita nashkah itu mencerminkan realiti kehidupan masyarakat India Malaysia. “Ramai macam kami di luar sana, dan kami layak untuk diberi peluang serta dipandang serius. Stail cakap yang berbeza tidak menjadikan kami kurang India,” katanya.

pic-2

Beliau yang menggambarkan Peggy sebagai “huru-hara yang indah, cacat, jujur dan sangat manusiawi” berkata watak itu menterjemahkan pengalaman peribadinya ke dalam persembahan. “Orang seperti saya memang wujud dan cerita kami patut diketengahkan,” katanya.​

Rubini yang memulakan karier lakonan dalam industri filem dan drama Melayu pada 2019, membuat debut dalam industri Tamil tempatan menerusi Aadhira, arahan R Azizan. Drama bersiri itu mengetengahkan isu penderaan domestik, dan beliau berkata peranan itu memerlukan persediaan mental yang kuat.​

“Bagi saya, persediaan mental adalah bahagian paling penting. Sesetengah babak sangat menyentuh perasaan, jadi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa ini sekadar lakonan dan bukan realiti diri saya,” katanya.​

Tambahnya kali pertama merakamkan babak keganasan fizikal adalah sangat sukar. “Saya dapat rasa betapa beratnya penderitaan yang ditanggung setiap wanita yang melaluinya. Saya tidak boleh berhenti menggeletar atau menangis,” katanya bahawa pengarah dan kru membantunya kekal tenang.​

Bekerja dengan pengarah Jagat Shanjhey Kumar Perumal dalam Blues mengangkat kerjayanya ke tahap lebih tinggi. “Semangatnya meluap-luap. Dia menyentuh realiti kehidupan tetapi kekalkannya puitis,” katanya. 

pic-3

Rubini percaya dunia yang dikongsi Jagat, Macai dan Blues menandakan perubahan penting dalam pembikinan filem Tamil tempatan.​

“Ia membuktikan suara kita bukan kecil. Cerita kita layak mempunyai dunianya sendiri dan bila kita bersatu, karya kita boleh jadi luar biasa.”​ katanya. 

Rubini yang memiliki ijazah dalam bidang kewangan dan perakaunan, berkata dunia kreatifnya berkembang melalui bidang peragaan dan ratu cantik. 

Anak kedua daripada tiga beradik ini pernah mewakili Malaysia di Miss International 2014, naib juara di Miss Tourism Sri Lanka 2016 dan finalis Asia’s Next Top Model Musim ke-6.​

“Saya mula bekerja pada umur 15 tahun dengan menjual ais krim di pasar raya. Jika gadis yang tinggal di bandar kecil seperti saya boleh melakukannya, orang lain pun boleh.”​

Blues dijadualkan untuk tayangan pada 4 Dis, amat dekat di hati anak jati Kajang, Selangor ini.

“Ia mencerminkan kehidupan yang orang sering terlepas pandang. Jika penonton rasa terkesan, maka kita telah berjaya lakukan tugas kita. 

“Blues akan sentiasa dekat di hati saya. Sebab aku pun ‘cinema’," katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497790