AM

Mangsa Banjir Di Perak Menurun, Selangor Kekal

07/12/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus mencatat penurunan malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan sebanyak 680 mangsa melibatkan 195 keluarga berlindung di PPS di tiga daerah di negeri itu setakat 9 malam tadi, berbanding 934 mangsa pada petang tadi.

Daerah Hilir Perak merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 344 orang diikuti Manjung (190) dan Bagan Datuk (146).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan dua sungai berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Bidor di Changkat Jong dengan bacaan 3.82 meter (m) berbanding paras normal kira-kira 2 m, manakala Sungai Slim di Slim River mencatat 25.45 m berbanding paras normal 23.50 m.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan sebarang perubahan, iaitu 40 mangsa daripada 13 keluarga yang ditempatkan di satu PPS di daerah Kuala Selangor. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499905