PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang, berkaitan dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan berkenaan akan mengambil semua keterangan berkaitan termasuk dakwaan yang dibangkitkan ahli keluarga melalui peguam sebelum menentukan hala tuju siasatan.
“Bukit Aman telah menubuhkan jawatankuasa khas seperti diumumkan Datuk M Kumar (Pengarah JSJ Bukit Aman). Selepas jawatankuasa ditubuhkan mereka akan mulakan kerja mereka.
“Mereka akan ambil keterangan daripada keluarga yang mula-mula bercakap kepada peguam tentang adanya audio dan sebagainya. Ini adalah ruang lingkup jawatankuasa ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin berkata pasukan khas itu akan mengikut semua prosedur kerja dan peraturan dalam pasukan polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional.
Semalam, media melaporkan setakat ini pasukan siasatan khas itu telah merekodkan keterangan daripada tujuh orang saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga dan empat pegawai perubatan.
Pada 24 Nov lepas, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Dis lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan dan susulan itu polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
-- BERNAMA