SUKAN

TFC Tidak Ambil Mudah Aksi Timbal Balik - Tengku Hazman

22/01/2026 01:27 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Bernama) -- Kelebihan dua gol bukan jaminan selesa buat Terengganu FC (TFC) yang akan berdepan UM-Damansara United dalam aksi timbal balik pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.

Pemangku Ketua Jurulatih TFC Tengku Hazman Raja Hassan menjangkakan kelab Liga A1 Semi-Pro itu akan turun dengan corak permainan terbuka bagi memburu seberapa banyak jaringan untuk mara ke suku akhir piala paling berprestij negara itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus sepanjang 90 minit permainan meskipun membawa bekalan kemenangan dua gol dari perlawanan pertama di Kuala Lumpur.

“Saya sentiasa menekankan kepada pemain supaya tidak mengambil mudah perlawanan kedua ini.

"Untuk aksi timbal balik ini kita perlu dapatkan seberapa banyak gol untuk pastikan tempat di suku akhir. Saya menjangkakan UM-Damansara akan beraksi dengan corak permainan menyerang. Kita juga akan turun dengan corak permainan menyerang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tengku Hazman berkata semua pemain dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan kecuali Muhammad Haqimi Azim Rosli, Mohammad Saiful Jamaluddin dan Muhammad Safwan Mazlan yang mengalami kecederaan lutut ketika aksi menentang UM-Damansara United, tempoh hari.

Kehilangan tiga tonggak tersebut, kata beliau sedikit sebanyak menjejaskan perancangan untuk menentukan skuad utama yang akan membawa cabaran pasukan pada perlawanan tersebut.

"Tetapi berita baiknya Kyaw Min Oo yang berehat lama disebabkan kecederaan mungkin dapat beraksi esok. 

"Selain itu sandaran juga diletakkan di bahu dua pemain import baharu, Shervoni Mabatshoev dan Ehson Panshanbe yang setakat ini mempamerkan aksi meyakinkan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515432