PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai "Geng Ashraf" dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM2.4 juta sejak aktif beroperasi pada Januari 2025.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket itu menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing menggunakan laluan negara ketiga sebelum memasuki Malaysia secara haram melalui Kelantan dan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi-destinasi tertentu.
“Dengan kadar bayaran sehingga RM8,000 bagi setiap imigran yang diseludup, sindiket dianggarkan telah mengaut keuntungan sekitar RM2.4 juta sejak beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata 27 lelaki warga Bangladesh disyaki diseludup masuk ke Malaysia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit imigran haram di sekitar Ampang pada 12.40 pagi tadi.
Zakaria berkata dalam serbuan itu, pasukan operasi terpaksa memecahkan pagar dan pintu utama rumah sebelum berjaya masuk untuk membuat pemeriksaan.
Beliau berkata maklumat awal mendapati imigran-imigran berkenaan masuk ke negara jiran sekitar tiga hari lepas sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
“Turut ditangkap tiga lelaki warganegara Bangladesh disyaki sebagai ahli sindiket yang bertindak sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit,” katanya.
Zakaria berkata kesemua imigran berumur dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Beliau berkata JIM akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM.
-- BERNAMA