JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Bunuh Pengawal Keselamatan Di Klang

05/04/2026 02:49 PM

SHAH ALAM, 5 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mengakibatkan kematian seorang pengawal keselamatan dengan menggunakan besi pengunci kereta di sekitar taman perumahan di Bandar Bukit Raja, Klang dekat sini, pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara S. Vijaya Rao berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi di pondok keselamatan di taman perumahan terbabit, perselisihan faham berlaku selepas suspek ditegur oleh mangsa ketika sedang minum bersama rakan-rakannya semasa menjalankan rondaan keselamatan. 

“Mangsa, lelaki warga tempatan berusia 40 tahun, mengalami kecederaan akibat serangan fizikal telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam, namun disahkan meninggal dunia pada 4.18 pagi dipercayai akibat diserang menggunakan objek tumpul. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah berjaya mengesan dan menangkap suspek serta merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata semakan terhadap suspek warga tempatan berumur 40 tahun itu mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah selain kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541199