BUKIT MERTAJAM, 5 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel melibatkan rampasan 21,190 liter bahan api itu bernilai RM327,963.80 dalam serbuan di sebuah stor haram di Sungai Lokan, Butterworth dekat sini malam tadi.
Pengarahnya S. Jegan berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan dari sebulan lepas sebelum menyerbu stor itu pada 8.30 malam dan mendapati kegiatan pemindahan minyak diesel sedang berlaku membabitkan dua lori tangki.
“Semasa serbuan, lori tangki berkapasiti 18,000 liter sedang memindahkan diesel ke lori tangki 23,000 liter dan pemeriksaan lanjut mendapati premis gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan.
“Siasatan mendapati modus operandi sindiket ialah menjadikan lori tangki 18,000 liter sebagai stor bergerak dengan memindahkan diesel dari beberapa lori yang membeli dalam kuantiti kecil di stesen minyak di negeri ini,” katanya pada sidang media di Stor Ekshibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini hari ini.
Jegan berkata sindiket itu dipercayai mengumpul diesel secara berperingkat oleh ahli yang membeli bahan api itu di stesen minyak, terutamanya pada Rabu sebelum perubahan harga.
Diesel itu kemudiannya dipindahkan ke lori tangki lain untuk dibawa keluar dari Pulau Pinang dan dijual kepada pihak industri pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran yang ditetapkan kepada pihak tersebut.
Jegan berkata dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki Myanmar berusia 20-an yang bekerja di situ dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan dalang utama serta rangkaian sindiket tersebut.
Selain itu, KPDN Pulau Pinang menyita dua lori tangki, peralatan seperti hos dan pam serta beberapa dokumen perniagaan bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
-- BERNAMA