KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Bekalan beras di Sabah dilaporkan mencukupi walaupun terdapat kekurangan stok di beberapa pasar raya berantai di sekitar Sepanggar sejak kebelakangan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata beliau mengambil maklum dan prihatin terhadap kegusaran orang ramai berhubung situasi itu, namun hasil pemantauan mendapati bekalan beras masih mencukupi di seluruh negeri.
“Saya telah mendapatkan penjelasan terperinci daripada pihak Pejabat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah dan wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai status semasa stok simpanan beras di Sabah.
“Saya juga telah mengadakan lawatan ke gudang penyimpanan beras bagi melihat sendiri keadaan bekalan. Hasil pemantauan mendapati stok beras adalah mencukupi untuk kawasan Kota Kinabalu dan juga di seluruh Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Mustapha berkata kekurangan bekalan di pasar raya tertentu berpunca daripada peningkatan pembelian oleh pengguna yang didorong faktor pembelian panik.
“Keadaan ini menyebabkan pasar raya besar dan kedai runcit berantai mengalami kehabisan stok dengan lebih cepat daripada kebiasaan. Sementara itu, pasar dan kedai runcit biasa masih mempunyai bekalan jualan yang mencukupi.
“Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya mengamalkan pembelian barangan dapur secara berhemat serta mengikut keperluan,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan MADANI komited memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara melalui pemantauan bersepadu melibatkan kementerian berkaitan.
“Pemantauan berkala akan terus dipergiatkan secara bersepadu merentas kementerian, termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan global dan krisis tenaga dunia,” katanya.
-- BERNAMA