AM

Malaysia Perhebat Komunikasi Strategik Patahkan Propaganda Konflik Gaza

06/04/2026 07:56 PM

SEPANG, 6 April (Bernama) -- Malaysia memperhebat usaha komunikasi strategik bagi mematahkan propaganda berkaitan konflik di Gaza dengan mengangkat peranan media sebagai teras utama dalam kempen nasional berskala besar melibatkan pelbagai platform penyiaran dan komunikasi.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pendekatan itu penting memandangkan konflik semasa bukan sahaja melibatkan peperangan fizikal, malah turut merangkumi perang psikologi dan propaganda yang mempengaruhi persepsi masyarakat, khususnya golongan muda.

Beliau berkata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersetuju menjadi penaung Sumud Nusantara kerana percaya bahawa naratif dan propaganda itu perlu dipatahkan dengan fakta.

"Bagi saya yang cukup mengharukan (ialah) beliau (Fahmi) bukan sahaja bersetuju untuk menjadi menteri penaung, tetapi lebih daripada itu. Seluruh Kementerian Komunikasi akan bersama dengan usaha ini untuk menyebar luas apa sahaja fakta termasuk mengadakan dua sidang media yang menggunakan air time (masa siaran) khas untuk disiarkan secara menyeluruh di seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor merangkap ketua misi Datuk Seri Amirudin Shari.

Ahmad Sani berkata usaha sedang giat dijalankan untuk menyediakan siaran langsung bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan misi kemanusiaan ke Gaza secara masa nyata, termasuk dari lokasi strategik seperti pintu sempadan Rafah.

Beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan Kementerian Komunikasi bagi melaksanakan siaran langsung majlis pelepasan misi berkenaan, selain meneliti kemungkinan untuk menyiarkan perkembangan dari pintu sempadan sekiranya mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir.

Inisiatif siaran langsung itu penting bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menyaksikan sendiri perjalanan misi kemanusiaan, serta merasai semangat solidariti bersama rakyat Palestin.

“Setelah berbincang dengan Kementerian Komunikasi, kita sedang usahakan untuk buat siaran langsung daripada majlis pelepasan, dan insya-Allah jika dibenarkan oleh kerajaan Mesir, kita juga akan buat siaran langsung dari pintu sempadan Rafah," katanya.

Ahmad Sani berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam usaha itu, khususnya dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat dunia walaupun berdepan risiko keselamatan, seperti yang berlaku kepada wartawan di Gaza yang terkorban ketika melaporkan situasi sebenar konflik.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani cabaran komunikasi berkaitan konflik kemanusiaan dan berhasrat menjadi contoh kepada negara lain walaupun negara ini tidak memiliki keupayaan ketenteraan seperti kuasa besar dunia.

Perkembangan terkini menunjukkan rakan-rakan serantau telah menghubungi Malaysia untuk berkampung di SNCC, dan menjadikan pusat operasi komunikasi negara sebagai hab bagi menyelaras agenda global berkaitan Gaza.

Beliau berkata situasi itu menjadi indikator bahawa Malaysia semakin dilihat sebagai pusat rujukan dalam usaha kemanusiaan antarabangsa, selain berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai mediator bukan sahaja pada peringkat diplomasi, malah dalam diplomasi media pada masa hadapan.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Sani berharap semangat Aidilfitri tahun ini dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan kemanusiaan untuk Gaza, di samping terus mengikuti perkembangan misi dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541711