SEPANG, 6 April (Bernama) -- Malaysia menggerakkan Grand Campaign Sumud Nusantara 2026 iaitu satu usaha bersepadu melalui darat dan laut untuk membela Gaza.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kempen berskala besar itu dilaksanakan melalui lima fasa tindakan yang merangkumi penghantaran bantuan kecemasan, mobilisasi antarabangsa serta tindakan undang-undang di peringkat global.
Beliau berkata ia melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan seberat kira-kira 374 tan yang kini ditempatkan di gudang berhampiran Terusan Suez, Mesir, sebelum disalurkan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah.
“Usaha ini dijalankan hasil kerjasama diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Mesir, dengan harapan bantuan tersebut dapat disampaikan kepada penduduk Gaza dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ketua misi.
Ahmad Sani berkata fasa kedua melibatkan sidang media antarabangsa di pintu sempadan Rafah bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa konflik di Gaza masih belum selesai dan memerlukan tindakan segera daripada komuniti global.
Sementara fasa ketiga melibatkan penyertaan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) yang menyaksikan penyertaan 100 negara, meningkat berbanding hanya 44 negara pada tahun lepas.
Ahmad Sani memaklumkan Malaysia menghantar lima doktor serta beberapa kru kapal untuk menyertai misi tersebut, sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai antara penganjur utama bersama jawatankuasa penggerak antarabangsa.
Beliau berkata fasa keempat kempen pula melibatkan penyertaan dalam World Sumud Parliamentary Inaugural Congress di Brussels yang menghimpunkan ahli Parlimen dari pelbagai negara bagi merangka tindakan dasar dan diplomasi berkaitan krisis Gaza.
"Fasa terakhir melibatkan tindakan undang-undang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague bagi memfailkan aduan berhubung insiden penahanan aktivis dalam misi terdahulu di perairan antarabangsa,” katanya.
Ahmad Sani berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penaung utama keseluruhan usaha bersama sokongan langsung kerajaan, menjadikan Malaysia negara pertama hadir secara kolektif rasmi yang menyokong usaha berkenaan.
Beliau berkata tokoh kemanusiaan Nadir Al-Nuri pula dilantik sebagai Chef de Mission Sumud Nusantara, memanfaatkan pengalaman beliau sebagai pengasas dan jawatankuasa stereng bagi GSF dunia.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik agar terus bersatu menyokong usaha kemanusiaan tersebut serta berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial.
-- BERNAMA