JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Labuan Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Minuman Keras

05/05/2026 03:03 PM

LABUAN, 5 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai jenama minuman keras yang disembunyikan dalam kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai, di terminal feri, baru-baru ini.

Pengarah JKDM Labuan Aspalila Awang Tuah berkata pasukan penguat kuasa bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang di terminal feri Roll-on Roll-off (Ro-Ro) itu merampas 72.5 liter minuman keras, serta sebuah kenderaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan bernilai RM134,156.48.

“Minuman keras itu dipercayai disembunyikan dalam ruang yang diubah suai di bawah bonet belakang kenderaan berkenaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Aspalila berkata pemeriksaan terhadap kenderaan itu dilakukan pada 27 April lepas ketika sedang menunggu giliran untuk menaiki feri menuju ke Menumbok, Sabah. 

Kenderaan berkenaan dan semua barangan yang dirampas diserahkan kepada Unit Siasatan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Labuan untuk tindakan lanjut.

Dua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi talian 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat kastam berhampiran, dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553007