AM

KUSKOP Anjur "Town Hall Hebatkan Perniagaan Malaysia" Di Setiap Negeri

14/05/2026 05:06 PM

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan sesi “Town Hall Hebatkan Perniagaan Malaysia” di setiap negeri bagi mendapatkan pandangan akar umbi serta menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada usahawan dan peniaga kecil.

Menterinya Steven Sim berkata langkah itu penting bagi memastikan suara usahawan di peringkat akar umbi dapat diambil kira dalam proses membuat keputusan selain memberi penerangan berhubung dasar kerajaan.

"Mesyuarat Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2026 yang diadakan melibatkan wakil kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan penjaja dan peniaga kecil telah memutuskan KUSKOP menganjurkan Town Hall Hebatkan Perniagaan Malaysia di peringkat negeri.

"Kita mahu mendengar sendiri suara, cadangan dan pandangan daripada usahawan di peringkat negeri serta menyampaikan dasar KUSKOP kepada usahawan serta pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan hari ini.

Beliau berkata portal “Hebatkan Perniagaan Malaysia” yang akan dilancarkan secara rasmi awal Jun ini bakal menjadi hab sehenti bagi maklumat berkaitan pembiayaan, program pembangunan kapasiti, dasar kerajaan serta prestasi inisiatif “Power Up 10,000”.

Sim berkata portal itu diwujudkan susulan maklum balas persatuan penjaja dan peniaga kecil yang berdepan kesukaran mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan program perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menyentuh kebimbangan sektor PMKS terhadap kos operasi berikutan krisis bekalan global, beliau berkata kerajaan setakat ini tidak membuat sebarang keputusan untuk mengurangkan subsidi di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan beliau akan membawa pendirian mengekalkan BUDI95 ke peringkat Kabinet bagi memastikan kepentingan PKMS terus terpelihara.

"Saya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas sektor usahawan akan menyatakan pendirian bahawa harus dikekalkan BUDI95 buat masa sekarang dan memastikan tambah baik pelaksanaan subsidi diesel supaya kita boleh membantu usahawan yang menggunakan kenderaan diesel," katanya.

Sementara itu, beliau berkata UDA Holdings Berhad (UDA) iaitu agensi di bawah KUSKOP akan memberi diskaun sewaan hingga 20 peratus kepada penyewa premis perniagaan PMKS di bawah kendalian agensi itu, selain menawarkan moratorium tunggakan sewa hingga tiga bulan kepada syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.

Beliau berkata UDA juga akan menyerap semua peningkatan kos perkhidmatan tanpa memindahkan kepada penyewa melibatkan kira-kira 1,000 premis perniagaan di seluruh negara dengan implikasi kos dianggarkan RM12.5 juta hingga hujung tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556954