SUKAN

Acara Wusyu Sandaran Melaka Buru 20 Emas Pada SUKMA 2026

22/06/2026 04:40 PM

MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Kontinjen Melaka meletakkan sandaran kepada acara wusyu bagi memburu sasaran 20 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada Ogos ini.

Ketua Kontinjen SUKMA Melaka yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata ia berdasarkan rekod pencapaian cemerlang skuad wusyu yang muncul penyumbang terbesar pingat emas negeri berkenaan pada SUKMA 2024 di Sarawak.

“Antara sukan yang kami beri perhatian khas atau yang kami yakin boleh dapat pingat emas ialah wusyu tetapi kami tidak pinggirkan acara sukan lain kerana kami meletakkan sasaran 20 pingat emas buat kontinjen Melaka pada SUKMA kali ini.

“Antara acara yang turut disasarkan pingat emas ialah pencak silat, skuasy dan badminton,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turut menyampaikan Watikah Pelantikan Bapa Angkat (YB), Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) sempena SUKMA 2026.

Shanmugam ketika mengulas mengenai sasaran 20 pingat emas itu berkata ia adalah realistik dan mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet serta persiapan yang sedang dijalankan.

“Jika dikira berdasarkan keyakinan persatuan sukan terlibat, jumlah pingat yang dijanjikan oleh persatuan mungkin melebihi 30 emas seperti acara karate dan silambam, namun kami memilih untuk menetapkan sasaran yang lebih realistik, iaitu 20 emas,” katanya.

Shanmugam berkata daripada lebih 700 atlet yang didaftarkan menerusi 36 persatuan sukan di negeri itu, sebanyak 560 atlet telah disenarai pendek untuk menggalas cabaran pada temasya dwi-tahunan berkenaan.

Beliau berkata kesiapsiagaan atlet pula telah mencapai kira-kira 90 peratus dan persiapan akhir sedang dilakukan menjelang temasya itu.

Pada SUKMA 2024, kontinjen Melaka mengutip 18 emas dan tujuh daripada pingat itu diperoleh menerusi acara wusyu, diikuti pencak silat (tiga emas) dan olahraga (dua emas).

Acara lawan pedang, skuasy, petanque, e-sukan, badminton dan sepak takraw pula masing-masing menyumbang satu pingat.

Secara keseluruhan, kontinjen Melaka menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian pada temasya SUKMA 2024 dengan pencapaian keseluruhan 70 pingat, iaitu 18 pingat emas, 22 perak dan 30 gangsa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571517