IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk dua warga China kerana terlibat dengan aktiviti membekalkan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium di Bandar Baru Medan, di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua suspek, masing-masing terdiri daripada seorang wanita tempatan serta lelaki dan wanita warga China berumur lingkungan 27 hingga 58 tahun, ditahan pada 1.20 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan pembekalan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket penipuan dalam talian sejak awal tahun ini.
"Sindiket ini mengenakan bayaran bagi pembekalan satu unit telefon bimbit dengan kad sim dalam anggaran RM300 hingga RM500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya merampas 1,335 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi, 554 keping kad berwarna putih mengandungi mikrocip, 409 unit telefon bimbit, tiga unit komputer riba serta pelbagai barangan lain termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Jeep yang dianggarkan bernilai RM310,400.
Mohd Alwi berkata wanita tempatan tersebut direman selama sehari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala dua warga asing itu ditahan selama 14 hari di bawah Akta Imigresen bagi tujuan soal siasat dan melengkapkan siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120(b) kanun yang sama.
-- BERNAMA